Segala puji hanya bagi Allah pemerintah alam semesta, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam semoga dicurahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassallam serta keluarga dan sahabat baginda.

 Kehadiran bulan Mac menjadi suatu petanda buat seluruh komuniti dalam Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) bagi bermuhasabah, memperbaiki serta mengekalkan identiti dan pembawaan selari melalui pentas Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN Kali Ke-13 (MAT-13). Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN merupakan medium bagi memperkemas urusan pentadbiran yang menjadi asas penting wujudnya sesebuah organisasi.

Seperti firman Allah SWT dalam Surah ash-Shura ayat 38,

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepadanya.” (ash-Shura: 38)

 Dengan tema “Kita Keluarga PERUBATAN”, Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun ini bertujuan untuk menambah nilai Mahasiswa Sains Kesihatan dari sudut percambahan dan perkongsian cetusan idea dari pelbagai sudut pandang mahasiswa yang terdiri dari tiga jurusan pengajian yang berbeza merangkumi lokaliti pengajian di seluruh Mesir.

 Selain itu, perkumpulan “adik-beradik” seluruh PERUBATAN Cawangan di pentas Mesyuarat Agung Tahunan kali ini juga diharapkan mampu membuahkan perbincangan yang bernas di samping mengukuhkan tali persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.

 Justeru, pihak kami menjemput seluruh ahli PERUBATAN bagi bersama-sama menjayakan dan seterusnya mengambil manfaat melalui penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN Kali Ke-13 (MAT-13) seperti butiran berikut:

Tarikh                            :  10 Mac 2017 (Jumaat)
Tempat                          :  Kaherah
Agenda Mesyuarat  : 1.      Pembentangan Dan Pengesahan Minit Mesyuarat Sesi Pentadbiran Yang Lalu
    2.      Ucaptama Presiden Sesi Semasa
    3.      Pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan
    4.      Pembentangan Dan Pengesahan Penyata Akaun Tahunan
    5.      Pembentangan Dan Perbahasan Usul
    6.      Ucapan Penangguhan Presiden Sesi Semasa
    7.      Pelantikan Dan Pengenalan MTP Sesi Baharu Serta Pengumuman Presiden Dan Timbalan Presiden Sesi Baharu
    8.      Ucapan Dan Perbahasan Ucapan Dasar Presiden Sesi Baharu
    9.      Pelantikan Juruaudit PERUBATAN Sesi Baharu

 

Buat makluman, tempoh cadangan usul akan mula dibuka pada 21 Februari 2017 sehingga 27 Februari 2017 melalui borang atas talian (online) yang bakal disediakan. Tidak ketinggalan juga kaedah pendaftaran sebagai perwakilan dan pemerhati juga bakal dilaksanakan melalui kaedah yang sama. Sehubungan dengan itu, sebarang pemberitahuan terkini berkaitan MAT-13 akan sentiasa dikemaskini melalui kaedah atas talian bagi memudahkan sebarang urusan. Ikuti maklumat lanjut di Laman Web MAT-13 (www.mat.perubatan.org) yang disediakan.

Akhir kata, sekali lagi pihak kami amat berharap agar semua ahli PERUBATAN dapat memaksimumkan peluang yang ada agar manfaat terbaik diperoleh bersama. Semoga segala yang dirancang dapat dilaksanakan dan berjalan dengan lancar, insya-Allah.

 

Sekian, terima kasih.

 

“KITA KELUARGA PERUBATAN”

“AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”

“ILMUWAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI”

 

PO aisar

 

 

 

 

 

 

 

Ketua Jabatan Setiausaha Agung,
PERUBATAN 2016/2017

IMG_0287

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Nooraina binti Assan
Timbalan Jabatan Setiausaha Agung,
PERUBATAN 2016/2017.

 

 

 

 

Notis Panggilan ke Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-13 sesi 2016-2017